ASAL USUL BULUDAN ATAU BELURAN
Beluran merupakan sebuah daerah yang terletak dalam Bahagian
Sandakan, Sabah. Ia terletak kira-kira 88 kilometer dari bandar Sandakan.
Telupid yang merupakan sebuah daerah kecil bagi Beluran, terletak kira-kira 100
kilometer dari pekan Beluran. Daerah ini mempunyai sebuah kawasan Parlimen
(Parlimen Beluran) dan dua kawasan DUN, iaitu Labuk dan Sugut.
Daerah Beluran terletak di Timur-Utara Sabah, bersempadan dengan daerah Pitas
dan Kota Marudu di Utara, Ranau dan Tongod di Barat, Kinabatangan di Tenggara
dan Sandakan di Selatan. Dengan keluasan 7,717 km persegi Daerah Beluran
merupakan daerah kedua terbesar di Sabah selepas Daerah Tongod. Di sebelah
Barat Daerah ini merupakan dataran tinggi dan berbukit bukau, ia merupakan
unjuran Banjaran Crocker manakala di sebelah Timur merupakan dataran rendah,
sebahagiannya hutan paya bakau di pesisir pantai dan muara sungai. Sungai utama
yang melalui Daerah Beluran ialah:- Sungai Labuk,Sungai Sapi,Sungai
Tongod,Sungai Sugut,Sungai Lingkabau,Sungai Paitan,dan Sungai Tangkarason.
Beluran dahulunya adalah lebih dikenali sebagai Daerah
Labuk-Sugut dan dicatatkan telah wujud sejak awal Pentadbiran British North
Borneo Charterd Company, ia juga dinyatakan sebagai antara Daerah yang terawal
di Negeri Sabah.
Nama bagi Beluran diambil sempena nama bukit yang menjadi
“Land Mark” pekan tersebut, iaitu dalam bahasa Dusun Labuk, Sungai dan Tidong
disebut “Buludan” Pertukaran nama terjadi akibat daripada salah sebutan dan
ejaan dalam surat menyurat oleh warga Inggris yang tidak fasih menyebut
perkataan dalam bahasa tempatan menyebabkan Buludan bertukar kepada Beluran dan
kekal sehingga kini.
Buludan adalah kata dalam bahasa Dusun yang diberi
penambahan “an” dihujung kata “bulud” penambahan kata “an” kepada Buludan
tersebut adalah bagi menggambarkan makna kata tersebut sebagai ‘hanya dapat
sampai dengan berjalan kaki bertongkatkan tulang betis‘, perkataan “bulud”
adalah merupakan kata dasar kepada perkataan “Buludan”. “Bulud” adalah kata
nama di bahagian kaki manusia mahupun binatang atau dalam bahasa Dusun
Talantang bermaksud tulang betis, perkataan ini adalah yang
menterjemahkan kata nama “betis” dalam bahasa Melayu. Jadi secara mudahnya kata
“Buludan” ini dapatlah di seertikan sebagai “MEMBETIS” dalam bahasa Melayu atau
dalam konteks pemaknaan dalam bahasa Dusun Sugut adalah “Hanya dapat sampai
dengan berjalan kaki bertongkatkan tulang betis”.
Menurut kalangan tua-tua dari masyarakat Dusun di Sugut
khususnya di Kaingaran atau pun di Kg. Iran Baru Beluran dan juga oleh
sebahagian masyarakat Dusun setempat sekitar sungai Sugut bahawa kononnya sejak
pihak penjajah membuka Pejabat Pentadbirannya di kawasan ini maka ramai
kalangan penduduk tempatan khususnya yang tinggal atau berasal dari pedalaman
berdatangan, kedatangan penduduk pedalaman tersebut adalah untuk
memperdagangkan hasil hutan dan tani mereka, selain daripada itu sebahagian
besarnya adalah untuk mendapatkan pekerjaan seperti buruh balak mahupun buruh
(mencari) rotan.
Masyarakat pedalaman khususnya dari pedalaman Sugut dan Paitan
tidak mempunyai banyak pilihan untuk ke tempat terbabit selain daripada
berjalan kaki, sungguh pun sebenarnya mereka dapat ke tempat tersebut dengan
perahu namun bahaya lebih banyak jika mereka menggunakan perahu ke tempat itu
kerana perahu yang mereka gunakan adalah perahu bulat dan mudah terbalik
apabila sampai di laut, selain itu ia juga akan memakan masa lebih lama
berbanding dengan berjalan kaki. Sebenarnya, bagi masyarakat pedalaman dari
Sugut mereka akan berperahu sehingga ke Lingkabau (kalau mahu menggunakan
laluan laut akan tembus ke Terusan Sugut) kemudian mereka akan berjalan kaki
atau dengan memikul perahu (sa'non talud) sehingga ke sungai Tongod, perjalanan
tersebut memakan masa lebih kurang 3 hari 2 malam (ke Buludan) malahan ada yang
lebih dari itu manakala semasa pulang pula memakan masa hampir 4 hari 3 malam.
Dari sungai Tongod mereka akan berperahu jika ada perahu
(jangkar boleh/dapat juga digunakan namun sangat dikhuatiri kerana mudah
terdedah dengan bahaya ancaman buaya- selalunya mereka membuat perahu dan/
menyimpannya di tempat tersebut yang mereka panggil “Wasai“). Alternatif lain
ialah berjalan kaki selepas menyeberangi sungai Tongod. Apabila mereka
dekat/hampir sampai ke destinasi petanda pertama mereka kenalpasti adalah bukit
yang digelar “buludan” tersebut dan selalunya mereka akan berkata “U'dih lo' nulou
pongobuludan tokou kasasari..“, hal itu kerana bukit itulah satu-satunya yg
paling tinggi di kawasan tepi muara tersebut. dari semasa ke semasa akhirnya
bukit itu pun di nama “BULUDAN” sebagai tanda keperitan mereka berjalan kaki
untuk ke tempat tersebut.
Pejabat Pentadbiran Daerah Beluran telah ditubuhkan seawal
tahun 1916 walaubagaimanapun semua rekod dan data berkenaan telah musnah akibat
perang dunia ke dua, dan rekod Pegawai Daerah beberapa tahun juga musnah. Menurut
sumber daripada orang lama, Encik B.S Willie telah dilantik sebagai Pegawai
Daerah Beluran pada tahun 1945. KLAGAN merupakan Pusat Pentadbiran Daerah Labuk
Sugut yang pertama, tetapi kerana kawasan tersebut seringkali dilanda banjir,
Pemerintah British telah memindahkan pusat pentadbiran tersebut ke kaki bukit
Beluran. Begitulah serba sedikit tentang Beluran.
Rujukan:
https://ms.wikipedia.org/wiki/Beluran
http://www.kaingaran.com/asal-usul-nama-beluran-buludan/







0 ulasan "SEJARAH DAERAH BELURAN", Baca atau Masukkan Komentar
Catat Ulasan